Tuesday, June 19, 2012

Menyundal Perempuan Lain Semasa Isteri Pulang Ke kampung

AMPANG - Tindakan seorang suami membawa pulang teman wanitanya ke rumah ketika isteri dan anaknya pulang ke kampung membawa padah apabila dia dicekup kerana disyaki berkhalwat.

Dalam operasi yang dijalankan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan bersama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) pada jam 2 pagi itu, lelaki itu yang juga kakitangan kerajaanditahan bersama pasangannya yang bukan beragama Islam.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, selepas pihaknya mengetuk pintu beberapa kali, seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek terkejut melihat kehadiran penguat kuasa sebelum membenarkan mereka masuk membuat pemeriksaan.

“Lelaki itu memberi alasan tinggal seorang diri di rumah berkenaan, namun anggota penguat kuasa menemui seorang wanita yang berseluar pendek dan berbaju kemeja menyorok di belakang pintu bilik,” katanya.

Menurutnya, difahamkan lelaki itu tidak tinggal sebumbung dengan isterinya sejak dua tahun lalu kerana isterinya bekerja di Kedah.

“Lelaki tersebut mengenali teman wanitanya yang berusia 34 tahun itu sejak setahun lalu,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, lelaki berkenaan dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk dibuat laporan, manakala pasangannya terpaksa dibebaskan kerana bukan beragama Islam.

Dalam serbuan berasingan, seorang penuntut sebuah pusat pengajian tinggi tempatan tidak berpuas hati malah mempertikaikan serbuan Jais dan pegawai Masjid Al Azim di kediamannya di Pandan Perdana.

Menurutnya, lelaki berusia 33 tahun itu berang dan mempersoalkan berhubung akta ketika disoal siasat oleh penguat kuasa.

“Pasangan berkenaan berpakaian lengkap ketika ditahan dan mereka dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk dibuat laporan,” katanya.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.