JAKARTA: Sekurang-kurangnya 113 terbunuh, manakala kira-kira 500 lagi, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, masih hilang apabila tsunami melanda kampung-kampung tepi pantai berikutan gempa bumi kuat dekat Sumatera Barat, malam Selasa.
Lebih 150 buah rumah rosak dan kira-kira 2,000 penduduk melarikan diri ke kawasan tinggi dalam kejadian itu.
Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter itu berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai pada pukul 9.42 malam tadi (10.42 malam waktu Malaysia) dan mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter yang melanda perkampungan di beberapa buah pulau.
Pegawai agensi pengurusan bencana, Ade Edward hari ini berkata, angka kematian baru mula diterima dan setakat ini, 113 mayat sudah ditemui dan kira-kira 500 orang masih hilang.
Kata pegawai Jabatan Perikanan peringkat wilayah, Hardimansyah, penduduk memberitahu pengawal di pos keselamatan tempatan bahawa mereka tidak dapat menyelamatkan anak-anak mereka yang dihanyut ombak.
Kata Hardimansyah, di kampung Malakopa yang berdekatan, sekurang-kurangnya seorang disahkan terkorban, manakala dua lagi masih hilang.
Kira-kira 80 peratus rumah di kawasan itu rosak dan bekalan makanan semakin merosot, katanya.
Polis tempatan mencari mangsa yang hilang dan mendirikan pos-pos kecemasan, kata pegawai di balai polis daerah Sikakap, Ronald.
Ketua unit gerakan bencana di Kementerian Kesihatan, Mudjiarto berkata, dua mayat telah ditemui dekat pulau Sipora, manakala tujuh orang lagi masih hilang.
Di pulau Pagai Selatan, ombak tsunami bergerak sejauh 600 meter ke dalam kampung tepi pantai, sementara di pulau Pagai Utara, ombak mencecah paras bumbung rumah, katanya.
Sebuah bot pelancong membawa antara lapan hingga 10 warga Australia terputus hubungan radio sejak gempa bumi itu berlaku, menurut kenyataan Jabatan Hal-Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.
Situasi sebenar di Mentawai tidak diketahui selepas talian telefon dipercayai terputus.
Beratus-ratus pegawai bencana tidak dapat dihantar segera ke pulau-pulau terjejas di kepulauan Mentawai kerana ia mengambil masa selama 12 jam menggunakan bot untuk sampai ke kepulauan terbabit.
Media tempatan turut melaporkan dua buah perahu layar berlanggar di perairan tersebut menyebabkan dua orang tercampak ke dalam laut dan operasi mencari mangsa masih dijalankan.
Wilayah Acheh di Indonesia pernah dilanda gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 26 Disember 2004 mencetus tsunami besar.
Tsunami itu yang turut melanda 12 negara lain di sekitar Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa dengan kira-kira separuh daripadanya di Indonesia. – Reuters/AP
No comments:
Post a Comment
SALAM SEJAHTERA KOMEN DAN JANGAN LUPA FOLLOW BLOG INI DAN LIKE KUTOOOBAMBOO YER